15 November 2016 - 14:19
Polis Jerman Serbu Masjid Di Seluruh Negara Tersebut.

Polis Jerman telah melakukan 200 serbuan ke atas beberapa buah masjid, apartmen dan pejabat di 10 wilayah negara itu dalam usaha memburu para anggota sebuah pertubuhan radikal.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Jerman telah melakukan 200 serbuan ke atas beberapa buah masjid, apartmen dan pejabat di 10 wilayah negara itu dalam usaha memburu para anggota sebuah pertubuhan radikal.

Ratusan anggota keselamatan Jerman menyerbu tempat-tempat tersebut untuk menahan beberapa individu yang disyaki menjadi ahli kumpulan 'True Religion' yang diharamkan di negara itu.

Menurut Menteri Dalam Negeri Jerman, Thomas de Maiziere, serbuan itu dilancarkan pada pagi hari Selasa.

Beliau juga menyatakan bahawa serbuan itu dibuat di sekurang-kurangnya 60 buah bandar di seluruh Jerman. De Maiziere menambah dengan berkata bahawa tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihak berkuasa hanya merampas beberapa dokumen dan fail milik kumpulan tersebut.

Kumpulan yang umumnya dikenali sebagai 'Bacalah (ia)' dituduh cuba mengagung-agungkan militansi dan mempengaruhi orang muda untuk menyertai kumpulan Daesh di Syria dan Iraq.

De Maiziere berkata bahawa kumpulan itu menyebarkan mesej berisi kebencian dan berusaha meradikalkan para pemuda negara tersebut.

Operasi di peringkat kebangsaan ini dilancarkan seminggu selepas pihak berkuasa Jerman berjaya menahan 5 orang suspek yang disyaki merekrut para pengganas bagi kumpulan pengganas Takfiri Daesh.

Pada Mei lepas, pihak perisikan Jerman mendakwa bahawa seramai 820 orang warganegaranya telah menyertai Daesh dan kumpulan pengganas lain di Syria dan Iraq. Sumber itu juga menyatakan bahawa satu pertiga daripada mereka telah pulang ke Jerman manakala 140 orang pula terbunuh di negara asing. Dianggarkan bahawa 420 orang daripada mereka masih kekal di Syria dan Iraq.

Wahhabisme adalah sebuah fahaman yang dominan di Arab Saudi. Fahaman itu secara terang-terangan menyebarkan idealogi yang menjadi asas perjuangan Daesh dan kumpulan Fateh al-Sham.